Jakim | 11 Februari 2012
Fenomena sebahagian remaja
hari ini yang menjadikan Valentine’s
Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk
diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken
Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang
mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”.
Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan
kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak,
jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my
Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang
melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai
Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan
hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.
Berdasarkan kepada
pandangan sebahagian besar tokoh-tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut
atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak.
Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran
Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama
Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan
bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh
perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan
dilarang oleh Islam.
Oleh itu, mimbar ingin
menegaskan bahawa pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang
keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan
kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan
umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru
mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari
tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh
merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.
Persoalan besar timbul
ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?
Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan
kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang
kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang
sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji
kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan
mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka
membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.
Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari
Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".
Ingatlah bahawa agama Islam
sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya
pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu
perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang
menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan
melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara
keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah
SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang benar-benar
beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka
tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka
pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar. ”
Ayat ini mengisyaratkan
bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak
dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang
dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan
penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.
Islam sebagai agama fitrah
dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat
dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan
oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada
batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina
berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat
dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat,
akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam
menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai
dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.
Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT,
rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan
melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga
sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.
Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207:
Bermaksud: “ Dan di antara manusia ada Yang
mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula
amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”
Justeru bagi menyelamatkan
agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan
dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar mewar-warkan
larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya
di negara kita ini, jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh
melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di
dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui
penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak
marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita
demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:
Pertama: ibu bapa
bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;
Kedua: umat Islam khususnya
remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
Ketiga: menanam rasa cinta
dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
Keempat: menjauhi aktiviti
bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis
tertentu; dan
Kelima: meninggalkan
sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:
Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu,
beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari
langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan
mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.