“Sesiapa yang menunaikan solat
Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu
mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada
waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam
api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Muhammad Abdur Rauf al-Munawi
dalam kitabnya at-Ta’arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan
siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh
tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq
dan berakhir pada waktu matahari terbit.
Solat Subuh memiliki banyak
daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam
syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung
mereka yang menjaga dan mengerjakannya.
Rasulullah SAW mengetahui
waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur.
Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk
merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat
Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya
yang betul.
Rasulullah SAW mengkhususkan
solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak
ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu
subuh.
Salah satu keutamaannya adalah
Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh,
sebagaimana disebutkan dalam hadis:
“Ya Allah, berkatilah umatku
selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat
Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
Jika Rasulullah SAW yang
berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda
sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.
Waktu Subuh adalah waktu yang
paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Allah SWT
berfirman maksudnya:
“Dan bersabarlah kamu
bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari
dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada
mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti
orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti
hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi,
ayat 28)
Keutamaan solat Subuh
diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana
disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi:
“Dari Aisyah telah bersabda
Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan
seisinya.”
Begitulah keistimewaan solat
Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri
tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang
begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?
Diriwayatkan Muslim daripada
Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang solat Isyak
berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat
Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam
penuh.” (Hadis riwayat Muslim)
Solat Subuh adalah sumber
daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di
dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.
Diriwayatkan daripada Abu Musa
al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang solat dua
waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dua waktu yang dingin itu
adalah solat Subuh dan Asar.
Mereka yang menjaga solat
Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika
melihat bulan purnama. Baginda berkata,
“Sungguh kamu akan melihat
Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam
memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat
sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW memberi janji,
apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang
mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang menunaikan
solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba
membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang
menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan
membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan
Ibn Majah)
Semoga kita tetap menjaga dan
memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila
terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.
Sumber: http://saifunnizam.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.