KAEDAH BEKAM
Oleh Suzan Ahmad
Magnet dimasukkan sebelum bekam magnet dilakukan.
|
BEKAM adalah satu subjek yang besar biarpun ia sekadar satu cabang dalam
perubatan alternatif. Mengikut definisi ia adalah kaedah rawatan yang
menggunakan alat seperti gelas, tanduk atau buluh yang menyedut permukaan kulit
untuk mengeluarkan angin, darah, toksik, darah beku atau kekotoran.
Pengamal kaedah perubatan bekam, Dr Nik Fairuz Hakim Nik Omar, dari
Pusat Perubatan Homeopathy dan Akupuntur Dr Nik Omar, Shah Alam, berkata bekam
atau Al-Hijamah adalah amalan sunnah yang hampir dilupakan orang Islam sendiri.
Ia adalah terapi perawatan yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit yang
disyorkan Nabi Muhammad SAW dan direstui amalannya oleh Allah SWT
Ada beberapa jenis bekam yang diamalkan di dunia seperti bekam kering
(angin), bekam basah (darah), bekam magnet, bekam elektronik dan bekam
akupuntur
“Hampir 60 peratus bekam yang diamalkan di seluruh dunia terdiri
daripada bekam kering (angin). Bekam angin pula terbahagi kepada beberapa jenis
iaitu magnet dan akupuntur (aku-bekam). Bekam jenis ini tidak menyakitkan dan
amat sesuai digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti sakit
kepala, muntah, resdung, masalah hati, sakit belikat, urat saraf, sakit leher,
berdengkur, buah pinggang, buasir dan pelbagai lagi,” katanya.
Bekam basah atau bekam darah pula menguasai 30 peratus teknik berbekam
dan terbahagi kepada dua iaitu bekam darah moden dan bekam darah sunnah
(mengikut sunnah Rasulullah). Perbezaan bekam moden dengan sunnah ialah bekam
moden menggunakan jarum, boleh dilakukan mengikut kelapangan pesakit tidak
mengira waktu, sekerap dua kali seminggu dan tidak kisah jika pengamalnya
lelaki atau perempuan
Bekam sunnah pula menggunakan pisau cukur kerana mengikut satu ayat
iaitu ‘shartah’ yang bermaksud toreh. Bekam jenis ini dilakukan pada hari
tertentu iaitu pada tanggal 17, 19 dan 21 mengikut kalendar Islam dan afdal
dilakukan pada Khamis, Jumaat dan Isnin. Hari perlu dielakkan ialah Rabu.
Mengikut tulisan Ibnu Sina, waktu terbaik untuk berbekam ialah antara
jam 2 petang hingga 3 petang dan seharusnya dilakukan selepas mandi, kecuali
bagi orang yang darahnya kental, harus mandi air panas sehingga tubuhnya berasa
hangat sebelum berbekam.
Kata Dr Nik Fairuz, jenis bekam biasanya mengikut pilihan pesakit yang
kebanyakan bertujuan membuang angin dan darah kotor.
“Kebanyakan mereka yang mengunjungi pusat rawatan ini memilih untuk
berbekam atas saranan dan nasihat rakan-rakan yang pernah merasai kebaikan
berbekam terutama amalan bekam sunnah,” katanya yang menjelaskan pesakit yang
menderita barah, ketumbuhan yang mencurigakan, fibroid (sista), lupus (SLE),
kudis kronik, jangkitan, sawan (gila babi), HIV/Aids, orang fobia, mengandung,
penyakit kelamin dilarang berbekam.
“Kami tidak merawat kanser, tetapi tidak dinafikan ada pesakit yang
datang untuk berbekam atas fahaman dan keyakinan seperti diriwayatkan Abu
Hurairah yang berkata Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa berbekam pada
tanggal 17, 19 dan 21, maka ia akan menyembuhkan semua penyakit.” (Hadis
riwayat Abu Daud),” katanya.
Dr Nik Fairuz mendapat tauliah pakar bekam daripada Fakulti Perubatan
Homeopati Malaysia (Fahom).
Amalan bekam darah dahulunya biasa dilihat di tepi-tepi jalan, dan
pengamal bekam sebegini biasanya mewarisi teknik bekam secara turun temurun.
Tidak dinafikan teknik ini pernah dilabel sebagai perubatan jalanan kerana
amalan kebersihan seperti peralatan serta cara darah kotor dilupuskan diragui.
Apapun jenis bekam yang dipilih, bagi yang berminat dengan rawatan ini,
mereka perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai maklumat serta kemungkinan
termasuk pantang larang dan tahap kepakaran pengamal bekam. Beberapa perkara
yang boleh berlaku ketika dan selepas bekam termasuk pitam, pening, kebas,
pendarahan, lebam, kulit melecet, jangkitan, gatal-gatal, sakit bahagian bekam
dan keguguran.
Pengamal bekam hendaklah bertauliah dan tahu apa yang dilakukan,
mematuhi undang-undang perubatan mengikut Akta Perubatan 1971, memahami dan
mengikut peraturan pengamalan, menjaga kebersihan dan tidak berbekam pada
bahagian yang dilarang.
“Antara garis panduan pengamal yang bertauliah perlu mengikut Akta
Perubatan 1971 seperti tidak boleh mengisytiharkan bahawa teknik ini boleh
menyembuhkan penyakit yang mustahil untuk disembuhkan, selain tidak boleh
menggunakan peralatan seperti doktor,” jelasnya yang mula berminat terhadap
teknik bekam ketika menuntut di Hospital Besar Kalubowila Colombo, Sri Lanka
Selatan pada 1999
Terbaru, timbul cadangan Kementerian Kesihatan untuk menimbang menggunakan
akta untuk menguatkuasakan peraturan pengamal bekam iaitu mereka perlu
mendalami ilmu bekam sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum menjadi pengamal
bertauliah.
Bagaimanapun, usul ini masih pada peringkat perbincangan disebabkan
kebanyakan pengamal bekam di negara ini mewarisi teknik ini secara
turun-temurun
Dari segi sejarah, penggunaan teknik bekam paling awal dikesan melalui
amalan kaum Nabi Lut yang membaling batu kepada orang asing yang memasuki ke
kampung mereka. Pendatang yang luka kepalanya kemudian dikejar dan diminta
membayar wang sebagai habuan kerana mengeluarkan darah dari kepala mereka.
INFO: Bekam
Mereka yang berusia 4 hingga 65
tahun boleh berbekam.
Kebiasaannya, rawatan bekam
kering mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.
Sesi terapi bekam darah tidak
melebihi 30 minit.
Jumlah darah tidak melebihi 5
hingga 10 mililiter.
Sumber : bharian.com.my
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.