TEKNIK BERFIKIR


TEKNIK BERFIKIR


“Orang yang mahir berfikir, secara tidak mereka sedari sendiri, mempunyai beberapa prinsip-prinsip berfikir.”
                Semua  orang berfikir, tetapi kebanyakan daripada kita tidak tahu teknik-teknik berfikir yang kita gunakan. Kita menggunakan teknik yang kita pelajari secara tidak sedar semasa menjalani kehidupan harian. Teknik-teknik itu diistilahkan teknik pemikiran biasa. Antara ciri-ciri utama pemikiran biasa adalah:
1.       Salah satu sifat minda kita adalah sekiranya ia terdengar sesuatu idea sebanyak tiga kali atau lebih, maka hal itu dianggap lebih benar daripada apa yang didengar sekali sahaja. Perulangan menguasai minda kita dan mempengaruhi cara bagaimana minda kita memproses apa yang didengar.
2.       Pemikiran biasa sering kali dikongkong oleh apa yang dilihat oleh mata (persepsi). Warna yang cerah dan garang membuat kita  percaya bahawa benda itu lebih penting daripada apa-apa yang berwarna lembut dan pudar. Orang yang bertubuh tinggi dan tegap dianggap paling penting di dalam sesuatu majlis.
3.       Satu lagi ciri pemikiran biasa adalah ia akan tunduk pada niat dan kepentingan peribadi. Idea-idea dan maklumat yang diterima oleh minda dipengaruhi oleh apa kaitan antara idea dengan niat peribadi. Apa-apa yang bertentangan dengan kepentingan peribadi diketepikan.
4.       Pemikiran biasa tidak seimbang sama sekali. Kalau ada sebakul rambutan dan rambutan yang pertama dimakan adalah berulat, minda memutuskan semua rambutan didalam bakul itu berulat belaka. Sekiranya seorang pelajar Melayu lemah metamatik, semua pelajar Melayu dikatakan lemah metamatik.
5.       Pemikiran biasa mengutamakan kepentingan. Kalau ada sebiji rambutan berulat, rambutan yang sebiji itu lebih penting daripada rambutan yang sebakul. Kenyataan bahawa kebanyakan rambutan didalam bakul tidak berulat tidak dapat menghapuskan kepentingan yang sudah tercipta. Sekali kepentingan itu tercipta, ia akan kekal dalam minda.
6.      Pemikiran biasa dipengaruhi dengan kuatnya oleh pengalaman-pengalaman peribadi, bukan pengalaman darpada sumber-sumber lain. Apa yang kita alami adalah lebih penting daripada pengalaman orang lain.

7.       Pemikiran biasa kerap melihat sesuatu secara sempurna, tidak ada kekecualian langsung. Begitu juga ia suka melihat sesuatu daripada sudut ekstrem, tidak asa pertengahan. Kalau seorang pekedai menipu timbangan, semua pekedai menipu timbangan.
Supaya kita memiliki keupayaan berfikir menggunakan teknik-teknik yang berkesan kita perlu mengikis kecenderungan kita berfikir menggunakan pemikiran biasa kita. Pemikiran biasa tidak berdaya menghasilkan pandangan-pandangan dan idea-idea yang bermutu. Oleh yang demikian kita perlu mempelajari teknik-teknik berfikir yang canggih.
Prinsip Berfikir
Orang-orang yang mahir berfikir, secara tidak mereka sedari sendiri mempunyai prinsip-prinsip berfikir seperti yang disenaraikan di bawah:
  1. Sentiasa bersikap membina
Ramai Orang suka berfikir secara negatif. Mereka seronok mencari alasan-alasan bagi membuktikan orang lain salah.
Mereka berasa mereka lebih pintar daripada orang itu. Orang-orang yang berfikir secara negatif yakin kecekapan berfikir secara kritikal adalah memadai. Pemikiran mereka kekurangan unsur-unsur membina dan me-nerbitkan idea-idea. Memang benar, ada kalanya kita perlu pada pemikiran kritikal, tetapi itu tidak selalu. Orang-orang yang mahir berfikir secara negatif tidak berasa malu kerana sikap masyarakat kita sekarang yang lebih memuliakan kemahiran berfikir secara kritikal daripada kemahiran berfikir scara membina.
  1. Berfikir secara simple
Tabiat suka melihat apa-apa perkara dengan cara sukar dan rumit hanya elok untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain bahawa kita adalah pemikir yang hebat. Tabiat ini datang kebiasaan dari sekolah. Entah apa sebabnya, guru-guru percaya, salah satu cara mengajar supaya murid pandai berfikir adalah dengan memberi soalan-soalan yang susah. Pemikir yang mahir adalah orang-orang yang dapat berfikir secara simple. Apa-apa yang sukar akan mereka tukar supaya menjadi mudah. Mereka gemar bertanya, “Ada atau tidak cara lain yang lebih senang?”
  1. Senantiasa mencari-cari pilihan lain, tanggapan lain dan idea-idea baru
Pemikir-pemikir yang tidak mahir sibuk mencari SATU jawapan yang betul dan selepas menemui jawapan itu mereka akan mempertahankannya dengan degil. Dahulu, sejak di sekolah, semua soalan yang diberikan kepada mereka hanya mahukan satu jawapan. Jawapan-jawapan lain adalah salah. Selepas berhenti sekolah pun itulah yang mereka percaya.

Pemikir yang mahir sentiasa bertanya, ada atau tidak cara-cara lain, tafsiran-tafsiran lain, tindakan-tindakan lain, pendekatan-pendekatan lain. Sekiranya kita diberitahu ‘hanya ada dua kemungkinan’ dia segera mencari kemungkinan-kemungkinan lain. Kalau dia diberitahu, hanya ada satu penjelasan bagi apa-apa masalah, dia cepat-cepat mencari penjelasan-penjelasan lain. Begitu pula halnya dengan idea-idea dan tanggapan-tanggapan. Dia bertanya, “Ada Idea Lain?”
4.      Tidak suka bertelagah pendapat
Kemahiran bertelagah datang daripada hasrat mahu betul selalu. Semasa di sekolah, murid-murid dilatih berbahas, kononnya berbahas menajamkan otak mereka. Tetapi berbahas juga melatih mereka mahir mencari salah orang. Bagi menajamkan otak, caranya ialah dengan belajar menajamkan persepsi. Ini lebih berkesan dibuat tanpa bahas dan debat. Orang yang bertelagah dengan kita mungkin ada perkara yang berguna untuk kita dengar. Tetapi kalau kita sibuk mencari apa yang kita hendak lawan dan tangkis, telinga kita akan pekak daripada mendengar perkara-perkara berguna itu. Pemikir yang mahir pandai mendengar, bukan pandai berdebat.
  1. Memisahkan ego daripada pemikiran
Halangan pertama untuk menjadi pemikir yang mahir adalah dia ego kita: “Aku betul, dia salah.” “Pendapat aku yang terbaik.” Kita perlu belajar menerima hakikat bahawa kita mungkin salah dan idea orang lain lebih baik. Tetapi ini lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Kebanyakan orang menderita gejala ‘gerun-salah’ dan ‘gerun-kalah.’ Perkara ini pun bermula dari sekolah. Di sekolah, setiap kali kita salah, kita didenda.
Salah membawa malu besar pada diri. Ibu bapa kita pun malu apabila kita salah di sekolah. Salah mengakibatkan kita kalah di sekolah. Gejala gerun salah dan gerun kalah terbawa-bawa selepas keluar sekolah. Inilah yang menyebabkan dalam banyak peristiwa, orang berdegil-degil mempertahankan pendapat kerana mereka takut salah. Jadi mereka kalah. Sehingga padu satu saat, mereka bukan lagi mempertahankan idea mereka, sebaliknya mereka mempertahankan maruah mereka. Mereka takut malu. Kalau ada pendapat lain yang bertentangan dengan pendapat kita, kita rasa kita berusaha membuktikan pendapat lain salah.
Tetapi, pendapat-pendapat lain mungkin ‘betul’ belaka, berdasarkan persepsi yang dijadikan asas pada pendapat-pendapat itu. Pemikir yang mahir berupaya memisahkan egonya daripada pemikirannya. Mereka dapat menerima bahawa kenyataan mereka mungkin salah dan idea mereka belum tentu yang terbaik.
  1. Merendah diri
Sombong, bongkak dan angkuh ialah ciri-ciri orang yang tidak mahir berfikir. Memang, adalah sukar hendak merendahkan diri kepada orang-orang yang penuh prasangka, buta akal, berfikirkan sempit dan terbukti salah. Dan orang-orang seperti itu ramai di sekeliling kita. Namun orang-orang yang mahir berfikir mempunyai sikap merendah diri dalam pemikiran mereka sendiri. Mereka percaya, pemikiran mereka sendiri pun belum tentu betul.


Dipetik daripada buku bertajuk Berfikir  SECARA LOGIK & KRITIS
Berfikir secara logik dan kritis adalah sangat penting, terutama untuk menghindari kesilapan semasa membuat pilihan dan mengambil keputusan.
Ramai orang yang pandai semasa mereka masih belajar ternyata begitu pandai apabila menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang tepat dalam kehidupan sehari-hari. Mereka melakukan kesilapan-kesilapan yang merugikan diri mereka sendiri dan orang lain yang terjejas oleh keputusan itu.
Keupayaan berfikir secara logik dan kritis adalah kemahiran yang boleh dipelajari secara sistematik oleh sesiapa sahaja.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.